Majlis Berbuka Puasa UMNO Labuan Meriah, Perkukuh Kekeluargaan

LABUAN, 24 Mac – Majlis Berbuka Puasa anjuran UMNO Bahagian Labuan semalam telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan suasana kekeluargaan, mencerminkan keakraban dalam kalangan kepimpinan dan ahli parti serta masyarakat setempat.

Majlis yang diadakan di penghujung Ramadan ini menyaksikan kehadiran kepimpinan lima peringkat UMNO Bahagian Labuan serta tetamu kehormat, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Razlan Raffi dan rombongan besar kepimpinan UMNO Wilayah Persekutuan.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menyatakan rasa syukur atas kejayaan penganjuran majlis ini yang menjadi platform untuk mengeratkan hubungan sesama ahli dan masyarakat setempat.

“Kehadiran mereka memberikan makna besar kepada majlis ini, sekaligus menunjukkan solidariti dan kesepaduan dalam UMNO Wilayah Persekutuan dan Labuan,” katanya kepada UMNO Online.

Sebagai sebahagian daripada program kemasyarakatan, majlis ini turut diserikan dengan pemberian sumbangan kepada anak-anak yatim, pelajar tahfiz, dan golongan asnaf.

Menurut Mohd Rafi, usaha ini adalah sebahagian daripada tradisi UMNO Labuan dalam meraikan golongan kurang berkemampuan agar mereka turut merasakan kegembiraan menjelang Aidilfitri.

“UMNO sentiasa menekankan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan dan ini adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan menjelangnya Aidilfitri.”

Selain itu, beliau turut menyentuh kejayaan UMNO Labuan dalam melaksanakan tiga program utama sepanjang Ramadan tahun ini, iaitu Ziarah Kasih Ramadan, Jelajah Ukhwah Ramadan ke masjid dan surau, serta Majlis Berbuka Puasa bersama anak muda.

“Program-program ini telah memberikan impak yang besar kepada masyarakat dan memperkukuhkan lagi hubungan antara UMNO Labuan dan penduduk setempat.

“Ziarah Kasih Ramadan, misalnya, melibatkan lawatan ke rumah-rumah keluarga yang kurang berkemampuan serta pemberian bantuan keperluan asas bagi meringankan beban mereka.

“Sementara itu, Jelajah Ukhwah Ramadan telah menyaksikan pemimpin-pemimpin UMNO Labuan turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan penduduk di masjid serta surau, memperkukuhkan hubungan silaturahim antara parti dan masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan majlis ini, termasuk para sukarelawan, ahli jawatankuasa penganjur, dan penyumbang yang telah menghulurkan sokongan dalam pelbagai bentuk.

Mohd Rafi juga mengambil kesempatan untuk memohon kemaafan kepada semua kepimpinan UMNO Labuan serta seluruh keluarga besar UMNO di Labuan dan rakan-rakan yang mengenali beliau.

“Semangat perpaduan dan kesepakatan perlu terus diperkukuhkan, bukan sahaja dalam kalangan ahli UMNO, tetapi juga dalam masyarakat secara keseluruhan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit