‘Jika Ikhlas Perjuangkan Melayu… Bubar PPBM, Kembali Kepada UMNO’ – Ismail
KUALA LUMPUR, 24 Mac – Jika PPBM ikhlas perjuangkan Melayu, mereka perlu membubarkan parti itu dan kembali semula ke pangkuan UMNO, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Ujarnya, PPBM hanyalah melemahkan kuasa politik orang Melayu dengan menjadi sebuah parti serpihan yang tidak mempunyai hala tuju jelas.
“PPBM bukanlah natijah kepada usaha untuk memperkukuh bangsa Melayu, sebaliknya hanya melemahkan kuasa politik orang Melayu dengan menjadi parti serpihan yang tiada hala tuju jelas.
“Pemimpin-pemimpin yang menubuhkan PPBM adalah mereka yang gagal dalam UMNO… dipenuhi dengan jiwa kekecewaan yang tinggi. Mereka tidak membawa agenda baharu.
“Hanya menggunakan sentimen emosi untuk menyerang UMNO demi kepentingan peribadi. Kini, parti tersebut hilang arah dan semakin muflis sokongan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut beliau turut menasihatkan agar tidak membiarkan ego dan dendam politik menjadi punca perpecahan yang akhirnya merugikan bangsa.
“Ia jelas dapat dilihat apabila TImbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sendiri menyatakan hasrat bahawa parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO.
“Kesimpulannya, pemimpin PPBM tidak benar-benar ikhlas dalam perjuangan Melayu. Jika ikhlas, mereka harus akui kesilapan dan kembali ke pangkuan UMNO. Jangan biarkan ego dan dendam politik menjadi punca perpecahan yang merugikan bangsa,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, PPBM bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan musuh ketatnya, UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.
Hamzah berkata, tiada sebab bagi UMNO dan PPBM untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan, asas matlamat perjuangan yang sama sepatutnya membolehkan Bersatu dan UMNO duduk semeja. – UMNO Online