Isu Perdagangan Global Akan Terus Diberi Perhatian – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 24 Mac – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia akan memastikan isu perdagangan global dan dasar perlindungan ekonomi diberi perhatian dalam platform-platform utama ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN.
Menurut beliau Malaysia juga akan memanfaatkan kepengerusiannya untuk memacu agenda ekonomi ASEAN 2025 melalui Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan, atau dengan izin, Priority Economic Deliverables (PEDs), ke arah pembangunan ekonomi serantau yang lebih mampan dan inklusif.
“ASEAN adalah ekonomi kelima terbesar dunia, akan terus berpegang pada prinsip perdagangan bebas dan adil. ASEAN akan terus mengambil pendekatan kolektif yang bersifat strategik, termasuk usaha-usaha untuk memperluas akses pasaran, penting bagi menangani ketidaktentuan ekonomi global, termasuk risiko yang timbul daripada dasar perlindungan dan tekanan ekonomi dari luar,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Senator Datuk Lim Pay Hen meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah peranan yang akan dimainkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan juga sebagai rakan negara BRICS dalam mendepani cabaran ekonomi global dengan mengambil kira ancaman ekonomi yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump.
Mohamad seterusnya menambah pada masa yang sama, ASEAN juga akan terus mengukuhkan hubungan dengan Amerika Syarikat, rakan dialog strategik yang telah terjalin sejak 1977 dan diperkukuh melalui Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022.
Kata beliau Amerika Syarikat merupakan rakan dagang kedua terbesar ASEAN dengan nilai perdagangan sebanyak USD395.5 bilion pada 2023 (positive in favour of ASEAN).
“Malaysia akan memandu ASEAN mengekalkan dialog yang berterusan dengan Amerika Syarikat melalui pelbagai mekanisme sedia ada, termasuk Dialog ASEAN-Amerika Syarikat, Pasca Persidangan Menteri Luar Negeri ASEAN-Amerika Syarikat, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat, dalam memastikan dasar perdagangan yang lebih seimbang serta saling memberi manfaat
“Keahlian Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS pula akan membuka ruang untuk memperluas kerjasama ekonomi dengan negara-negara seperti Afrika Selatan, Brazil, China, India, Rusia, dan UAE, yang juga merupakan Rakan Dialog ASEAN atau rakan luar ASEAN.
“BRICS yang dianggotai oleh sepuluh (10) buah negara dengan saiz pasaran kumulatif hampir 3.88 bilion penduduk, mampu memperluaskan akses pasaran produk dan perkhidmatan Malaysia ke Negara-negara Anggota BRICS, serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan langsung asing. Ini sekali gus dapat mengimbangi kebergantungan negara kepada pasaran tradisional sedia ada,” tambahnya.
Tambah beliau lagi, secara kumulatif, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara-negara Anggota BRICS adalah berjumlah USD28.75 trilion iaitu 27 peratus daripada KDNK dunia.
“Keutamaan Malaysia dan ASEAN adalah prinsip-prinsip berkecuali, dan menggalakkan pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan berasaskan peraturan. Amerika Syarikat pula adalah merupakan salah satu rakan strategik utama bagi Malaysia dan rakan dagang ketiga terbesar serta penyumbang terbesar pelaburan langsung asing dalam pelbagai sektor di Malaysia.
“Pada tahun 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat mencapai RM324.91 bilion (USD71.17 bilion). Langkah-langkah strategik juga akan terus diambil untuk mengimbangi kepentingan negara dengan pendekatan pentadbiran baharu Amerika Syarikat, bagi memastikan kepentingan ekonomi dan perdagangan negara kekal utuh,” ujarnya. – UMNO Online