Generasi Muda Tonggak Masa Depan UMNO, Terus Perkukuh Jati Diri – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Generasi muda hari ini memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan UMNO serta mempertahankan asas dan prinsip yang telah lama diperjuangkan parti.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr. Tengku Adnan Tengku Mansor berkata demikian semasa menyantuni anak-anak muda yang menyertai Sekolah Patriotik UMNO dalam satu pertemuan pada Sabtu.

Beliau menzahirkan rasa bangga dan terharu melihat semangat tinggi ditunjukkan oleh generasi muda, yang disifatkannya sebagai pewaris kepimpinan negara dan bakal mencorak masa depan Malaysia.

“Sebagai pewaris kepimpinan negara, anak-anak ini bertanggungjawab untuk meneruskan legasi perjuangan dengan semangat yang tinggi serta berpegang teguh kepada nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Sekolah Patriotik UMNO menjadi platform utama bagi membentuk pemimpin muda yang berwawasan, berintegriti dan memahami selok-belok perjuangan parti, malah ia mampu menanam kefahaman mendalam mengenai perjuangan UMNO di samping memupuk jati diri yang kukuh.

“Alhamdulillah, melihat semangat mereka menyerlahkan aspirasi perjuangan demi agama, bangsa dan negara. Pesanan saya pada mereka agar terus berpaksi pada tekad demi Lillahi Taala, tetapkan arah tujuan dan yakin pada platform perjuangan iaitu tidak mudah alah dengan persepsi dan manipulasi mana-mana pihak.

“Yakinlah dengan asas dan tujuan perjuangan ini kerana inilah landasan yang akan membawa kepada kejayaan dan kebaikan untuk generasi akan datang. Jangan mudah goyah dengan persepsi luar yang boleh melemahkan semangat kita. Teruskan usaha memperkukuh jati diri, memahami sejarah perjuangan dan berusaha menjadi pemimpin yang berwibawa,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan bahawa generasi muda perlu sedar akan peranan mereka dalam meneruskan kesinambungan perjuangan dengan keutamaan adalah kelestarian masyarakat dan negara.

“Mereka bukan sahaja perlu memahami sejarah perjuangan UMNO, malah harus bersedia untuk memimpin dan membawa parti ke tahap yang lebih baik.

“Dalam menghadapi pelbagai cabaran, anak muda tidak boleh mudah terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang cuba menggugat keutuhan perjuangan mereka. Sebaliknya, mereka perlu memperkukuhkan semangat serta keyakinan terhadap platform perjuangan yang telah lama dibina,” katanya lagi.

Dilaporkan, Program Sekolah Patriotik UMNO ini adalah antara usaha parti bagi mempersiapkan barisan pemimpin muda yang berkaliber dan juga sebagai simbol komitmen parti terhadap perjuangan politik yang inklusif dan berdaya saing. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit