Bantuan Menjelang Syawal Inisiatif Ringankan Beban Ibu Bapa – Mohd Hisamudin

PUTRAJAYA, 24 Mac – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, menerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, telah mengambil inisiatif mencari dana bagi membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan agar anak-anak mereka dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih ceria.

Ujarnya, bantuan ini menyaksikan peningkatan jumlah penerima daripada 160 murid pada tahun sebelumnya kepada 320 murid tahun ini, melibatkan 16 buah sekolah rendah di Putrajaya.

“Saya bersyukur apabila jumlah penerima sumbangan meningkat sekali ganda daripada 160 murid pada tahun sebelumnya kepada 320 murid tahun ini membabitkan 16 buah sekolah rendah di Putrajaya,” katanya.

Terdahulu beliau mengiringi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam majlis penyampaian sumbangan terbabit kepada murid-murid yang memerlukan.

Mohd Hisamudin menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyalurkan sumbangan.

“Inisiatif ini diharapkan dapat membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang kurang berkemampuan, memastikan mereka dapat meraikan Syawal dengan penuh keceriaan seperti rakan-rakan mereka yang lain,” katanya.

Dalam usaha menjayakan inisiatif ini, beberapa syarikat dan organisasi tampil menghulurkan sumbangan iaitu Lim Seong Hai Capital Berhad menyumbang sebanyak RM12,000, manakala MFL dan Grab Malaysia menyumbang RM15,000 sementara Yayasan Pelajaran MARA turut memberikan sumbangan sebanyak RM5,000.

Majlis penyerahan bantuan ini diadakan di AEONBIG Malaysia yang juga bertindak sebagai penaja lokasi dan menyediakan ‘doorgift’ kepada penerima sumbangan.
Sementara itu, Hwa Tai Industries turut menyumbangkan biskut kepada anak-anak yang menerima bantuan ini.

Dalam majlis ini, seramai 170 murid menerima gift card AEONBIG bernilai RM100 setiap satu, manakala 150 murid menerima baucar dengan nilai yang sama.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Pengarah Urusan AEONBIG Malaysia, Tsugutoshi Seko; Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Karim; Pengarah Public Affairs & Policy Grab Malaysia, Ebi Azli Abdullah; serta Pengarah Bahagian Khidmat Komuniti Yayasan Pelajaran MARA, Puarsuha Ab Razak.

Mohd Hisamudin turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ezaidin Hussain, atas sokongan yang diberikan, selain Majlis Guru Besar yang diketuai oleh Mohd Amin Hamzah ekoran turut memainkan peranan penting dalam mengenal pasti murid-murid yang layak menerima bantuan ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit