Perkasa Wanita Muda Dalam Pelbagai Aspek… Puteri UMNO Sabah Anjur ‘Healing With Puteri’
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah telah menganjurkan program ‘Healing With Puteri’ pada 21 Mac lalu sebagai inisiatif untuk memberi manfaat rohani dan emosi kepada para peserta yang hadir di samping memperkasa wanita muda dalam pelbagai aspek.
Ketuanya, Ketua Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal menerusi menzahirkan rasa syukur di atas kelancaran program yang berlangsung dengan penuh harmoni itu.
“Saya ingin menzahirkan rasa syukur atas kelancaran program dan mengalu-alukan kedatangan para peserta serta penceramah yang bersama-sama kita untuk berkongsi ilmu.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Pelaksana program, Zairani Awang yang juga Ketua Penerangan Puteri UMNO Sabah, Biro Agama Puteri UMNO Sabah di bawah pimpinan Dg Shamimi dan semua urusetia yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini dalam tempoh perancangan singkat.
“Semoga segala ilmu yang diperoleh hari ini dapat kita manfaatkan dalam kehidupan seharian. Terima kasih kepada semua yang hadir dan menyokong program ini. Dengan ini, saya menyempurnakan program ‘Healing With Puteri’,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Turut hadir ke program tersebut adalah Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Hajah Musliati Moslimin bersama rombongan, Naib Ketua Puteri UMNO Sabah, Farehah Wasli, Bendahari Puteri UMNO Sabah, Noreidah Khamis dan Ketua Puteri UMNO bahagian-bahagian
Sesi perkongsian ilmu oleh penceramah jemputan menjadi intipati penting program ini dan ia telah disampaikan oleh Ustazah Isra Sarip bersama sahabat yang memberikan pengisian bermakna untuk mendalami aspek kerohanian serta kesejahteraan diri, terutama dalam fasa sepuluh malam terakhir Ramadan yang penuh keberkatan.
Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut hadir memeriahkan majlis ini ialah Pertubuhan Pendidikan dan Kebajikan Projek Lev Sabah diketuai oleh Pengerusinya, Fadilah Mohammad.
Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, sebagai salah satu usaha memperkasakan golongan wanita muda dalam aspek keagamaan, kebajikan dan kepimpinan. – UMNO Online