Putar Belit Sejarah PRN ke-16 Sabah… Suhaimi Bidas Jeffrey

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Suhaimi Nasir membidas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang menuduh UMNO Sabah dan Barisan National (BN) tidak menepati janji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Ini kerana katanya, ia adalah satu pembohongan dan cubaan menutup pengkhianatan yang telah dilakukan oleh beliau sendiri.

“Kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, yang menuduh UMNO Sabah dan BN sebagai tidak menepati janji dalam PRN ke-16 Sabah adalah satu pembohongan dan cubaan menutup pengkhianatan dilakukan oleh beliau sendiri.

“Pertama sekali, pertembungan ‘friendly contest’ dalam PRN ke-16 tidak boleh dianggap sebagai pelanggaran janji kerana gabungan ketika itu adalah satu pakatan longgar yang dibentuk untuk menumbangkan Warisan dan Pakatan Harapan (PH).

“GRS hanya diumumkan secara rasmi pada hari penamaan calon, 12 September 2020. Sebelum itu, rundingan hanya berlaku antara BN dan Perikatan Nasional (PN), sementara PBS masih berteka-teki. Oleh itu, sebarang pertembungan BN dan PBS ketika itu tidak boleh dianggap sebagai pengkhianatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan Jeffrey bahawa STAR sendiri yang melakukan pengkhianatan apabila meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan dan Sook.

“Jeffrey jangan lupa bahawa STAR sendiri yang mengkhianati kesepakatan dengan meletakkan calon menentang BN di kerusi yang telah dimenangi BN pada PRN 2018 iaitu DUN Paginatan dan Sook.

“Selain itu, STAR juga meletakkan calon menentang PBS di enam kerusi lain, mencerminkan sikap oportunis mereka walaupun hanya memiliki dua kerusi sebelum PRN16 (Bingkor dan Tambunan),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa Jeffrey tidak boleh dipercayai dan tidak layak untuk berbicara soal kesetiaan.

“Pengkhianatan lebih besar berlaku apabila PN turut ‘merestui’ calon-calon bebas ‘Mesra Perikatan Nasional’ untuk menentang BN. Selepas menang, mereka diterima masuk ke dalam kerajaan. Bukankah ini satu pengkhianatan terang-terangan?

“Pendek kata, yang tidak boleh dipercayai ialah Jeffrey dan PN sendiri, bukan BN. Justeru, Jeffrey tidak layak berbicara soal kesetiaan dan kepercayaan kerana rekodnya sendiri membuktikan sebaliknya,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit