Imarah Ramadan: Azalina Santuni Warga Pengerang

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Ahli Parlimen Pengerang merangkap Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said telah menyantuni warga Pengerang di samping mengimarahkan bulan Ramadan bersama mereka.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menerusi hantaran di laman Facebooknya telah menyantuni warga polis dan jururawat pada Jumaat.

“Hari ini, 21 Ramadhan 1446H aktiviti saya tertumpu di kawasan saya, Parlimen P.157 Pengerang.

“Sempena bulan puasa yang amat berkat ini, saya mulakan hari dengan menyantuni wira-wira tak didendang kita untuk berkongsi rezeki dengan mengagihkan bubur lambuk dan juadah berbuka puasa serta kotak makanan keperluan asas hari raya kepada polis, bomba dan jururawat di sekitar Bandar Penawar,” katanya.

Ujarnya, beliau turut berkesemparan untuk singgah ke bazar Ramadan Bandar Penawar bagi menyantuni para pengunjung dan peniaga.

“Selepas itu saya sempat singgah ke bazar Ramadhan Bandar Penawar untuk menyantuni peniaga dan pengunjung.

“Setelah itu, saya terus ke Dewan Bayu Damai untuk meraikan golongan nelayan di kawasan Parlimen Pengerang,” katanya.

Jelasnya, lebih daripada 500 orang nelayan telah hadir dan Azalina telah menyerahkan sumbangan Hari Raya berbentuk kotak makanan dan wang tunai.

“Alhamdulillah saya cukup gembira kerana lebih dari 500 orang nelayan hadir ke program tersebut. Saya turut menyerahkan sumbangan berbentuk kotak makanan keperluan hari raya, ‘headlight’ untuk kegunaan mereka sewaktu mencari rezeki, juadah berbuka puasa dan sedikit duit raya.

“Saya harap sumbangan tidak seberapa ini dapat meringankan beban mereka menjelang Syawal dan semoga dapat meraikan Hari Raya dengan gembira dan bahagia,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit