Bencana Banjir: Kerajaan Negeri Johor Setuju Salur Bantuan Khas

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Kerajaan Negeri Johor setuju untuk menyalurkan bantuan khas akibat bencana banjir yang melanda negeri tersebut.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa sebanyak RM11,247,000.00 diperuntukkan kepada 3,749 isi rumah.

“Kerajaan Negeri Johor amat berdukacita dengan bencana banjir yang melanda dan memberi kesan kepada 13,089 orang mangsa daripada 3,749 keluarga, dengan pembukaan sebanyak 100 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah yang terjejas.

“Atas sebab itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah RM11,247,000.00.

“Sebanyak RM3,000.00 akan disalurkan sebelum hari raya Aidilfitri kepada 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di PPS. Bantuan ini merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ),” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Johor juga telah mengumumkan bantuan kepada para peniaga bazar yang turut terjejas akibat bencana banjir.

“Kerajaan Negeri turut prihatin terhadap kesan bencana ini ke atas para peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang terjejas di kawasan-kawasan yang dikenal pasti.

“Oleh itu, untuk meringankan beban mereka, kerajaan negeri mengumumkan bantuan sebanyak RM500 bagi setiap peniaga yang terjejas di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT). Bantuan ini akan memanfaatkan sebanyak 441 peniaga di dua PBT yang terlibat.

“Senarai lokasi dan jumlah peniaga yang menerima bantuan adalah Bazar Tebing Dato’ Onn melibatkan 48 peniaga, Bazar Jalan Pandan Ria 3 (30), Bazar Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir (66) peniaga, Bazar Pesiaran Dahlia (150) dan Bazar Aidilfitri Majlis Daerah Kota Tinggi (147),” katanya.

Ujarnya lagi, Kerajaan Negeri Johor melalui sembilan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersetuju untuk memberikan pengecualian semua caj kepada peniaga bazar Ramadan.

“Selain itu, kerajaan negeri melalui sembilan PBT yang terlibat, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pontian, Majlis Daerah Simpang Renggam, dan Majlis Daerah Kota Tinggi, bersetuju untuk memberikan pengecualian kepada peniaga bazar.

“Kepada Bazar Aidilfitri, pengecualian semua caj kecuali sewaan manakala bazar Ramadan pula menerima pengecualian semua caj yang dikenakan oleh PBT.

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 9,839 peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di 180 lokasi seluruh negeri Johor,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited untuk membantu mereka yang terjejas akibat bencana banjir.

“Sebanyak enam masjid, 17 surau, dan 43 institusi pendidikan yang merangkumi sekolah agama, sekolah rendah, sekolah menengah, serta kolej vokasional yang terjejas akibat banjir juga akan menerima bantuan baik pulih daripada Kerajaan Negeri.

“Untuk mangsa banjir yang terjejas tetapi tidak mendaftar di PPS masih berpeluang untuk mengemukakan rayuan bagi pertimbangan bantuan. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Daerah yang terlibat iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, dan Batu Pahat sehingga akhir April 2025.

“Kerajaan Negeri Johor komited untuk terus berusaha sedaya upaya dalam membantu mereka yang terkesan oleh bencana ini, demi kesejahteraan dan kestabilan hidup semua. Semoga segala bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir serta memberi sinar harapan untuk mereka bangkit semula. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit