UMNO Labuan Realisasikan Impian Rakyat, Komited Laksana Inisiatif Berterusan
LABUAN, 21 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menegaskan bahawa UMNO tidak akan sesekali membiarkan rakyat terus berada dalam kesusahan malah sedaya mungkin akan berusaha untuk membela dan menghulur bantuan.
Katanya, semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang telah sebati dalam UMNO telah mendorong beliau serta barisan kepimpinan bahagiannya untuk terus turun padang bagi membantu rakyat yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk berkongsi rezeki bersama golongan kurang berkemampuan, tetapi juga sebagai satu bentuk solidariti dan tanda sokongan terhadap masyarakat yang berdepan dengan cabaran kehidupan,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu beliau bersama pegawai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah melaksanakan penyerahan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada penduduk di sini.
“Saya memanjatkan rasa syukur kerana dapat merealisasikan impian rakyat untuk mendiami kediaman yang lebih selesa dan selamat. Usaha ini dilakukan bagi memastikan rakyat yang berada dalam kategori B40 mendapat tempat tinggal yang lebih baik, sejajar dengan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
“PPRT adalah satu inisiatif kerajaan yang menjadi hadiah kepada golongan kurang berkemampuan. Kita mahu memastikan bahawa mereka yang layak menerima rumah ini dapat menjalani kehidupan lebih baik dan lebih selesa. Ini adalah usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat.”
Mohd Rafi juga menekankan bahawa UMNO akan terus memainkan peranan sebagai jambatan dalam menyampaikan hasrat dan keperluan rakyat kepada kerajaan.
Ujarnya, melalui lawatan dan sesi turun padang, beliau serta pasukannya dapat mendengar sendiri keluhan masyarakat serta memahami dengan lebih mendalam permasalahan yang dihadapi oleh mereka.
“Kami mahu pastikan suara rakyat didengari dan tindakan diambil bagi menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul. Tidak kira agama atau bangsa, tanggungjawab kita adalah untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan,” tambah beliau.
Dalam satu lagi inisiatif, Mohd Rafi bersama pegawai KKDW telah mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Lada bagi meninjau projek pembinaan saliran yang bertujuan mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.
“Projek ini adalah salah satu langkah proaktif kerajaan dalam memastikan infrastruktur yang lebih baik serta mengurangkan kesan bencana alam terhadap penduduk setempat.
“Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk di sini setiap kali berlaku banjir. Oleh itu, projek pembinaan ini amat penting dalam meningkatkan sistem saliran dan mengurangkan risiko banjir di kawasan ini. Kami komited untuk memastikan projek ini berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Dengan pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan, jelasnya, UMNO terus membuktikan komitmennya dalam membantu rakyat serta memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan.
Mohd Rafi juga menegaskan bahawa kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk terus membantu mereka yang kurang bernasib baik serta membina sebuah masyarakat yang lebih sejahtera dan bersatu padu. – UMNO Online