Puteri UMNO Selangor Akan Manfaat Media Sosial Lebih Efektif Dekati Rakyat

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Selangor akan memanfaatkan media sosial dengan lebih efektif terutamanya dalam usaha mendekati para pengundi.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Selangor, Nurhidayu Ahmad Puzii berkata mereka menyambut seruan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menggunakan media sosial sebagai medan pertempuran.

“Seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said… ‘dalam landskap politik hari ini, media sosial adalah medan tempur utama dalam membentuk persepsi rakyat. UMNO komited memperkukuh kehadiran digital untuk berhubung dengan rakyat secara lebih berkesan’.

“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Selangor menyambut seruan ini. Hari ini, politik bukan lagi sekadar ceramah di dewan. Bukan lagi sekadar sidang media rasmi.

“Politik hidup di media sosial. Di Facebook, Twitter/X, TikTok, Instagram dan di setiap skrin telefon pengundi,” katanya.

Ujarnya, pengundi bandar dan separuh bandar kini bergantung sepenuhnya kepada informasi digital.

“Kalau kita tak bercakap, orang lain akan bercakap untuk kita. Kalau kita tak jawab, orang lain akan tentukan naratif. Puteri UMNO Selangor takkan biarkan itu berlaku.

“Pengundi bandar dan separa bandar bergantung pada informasi digital. Mereka tak tunggu risalah. Tak tunggu ceramah. Mereka Google dan ‘scroll’. Jadi kita kena pastikan suara kita sampai kepada mereka” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa Puteri UMNO Negeri Selangor akan memastikan suara rakyat sentiasa didengari.

“Kita akan guna media sosial secara lebih efektif. Maklumat pantas, tepat dan mudah difahami. Fakta melawan manipulasi. Engagement dua hala – rakyat bertanya, kita jawab.

“Puteri UMNO Selangor takkan jadi penonton di medan digital. Sama ada orang suka atau tidak, kami akan pastikan suara rakyat didengari,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit