Kerajaan Kerah Aset Dan Tenaga Bantu Mangsa Banjir – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Kerajaan komited memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir di Johor, Sabah, dan Sarawak dengan menggerakkan semua aset dan tenaga bagi operasi menyelamat serta penyaluran bantuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa segala usaha sedang dipertingkatkan bagi menangani bencana yang berlaku di luar jangkaan ini.

Setakat jam 12 tengah hari, seramai 12,255 penduduk daripada 3,771 keluarga masih terjejas, dengan 116 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga negeri terbabit.

Johor mencatat jumlah tertinggi dengan 10,510 mangsa daripada 3,245 keluarga yang berlindung di 98 PPS merentasi lima daerah. Di Sabah, 1,273 penduduk daripada 405 keluarga masih berada di 11 PPS di enam daerah, manakala di Sarawak, seramai 472 mangsa daripada 121 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di empat daerah.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan melalui bahagian pengurusan bencana telah mengerahkan pasukan penyelamat, termasuk anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis, tentera dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap mangsa mendapat bantuan segera.

Ujarnya, selain operasi menyelamat, keperluan asas seperti makanan, tempat perlindungan, serta sokongan kesihatan turut dipastikan sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Keutamaan kami adalah keselamatan rakyat. Semua tenaga dan aset kerajaan digerakkan sepenuhnya bagi membantu mereka yang terjejas. Kita akan terus berusaha memastikan tiada mangsa yang tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama berdoa agar keadaan kembali pulih serta memberi sokongan kepada mereka yang terkesan.

Dengan usaha bersepadu daripada kerajaan dan kerjasama rakyat, diharapkan keadaan banjir dapat dikawal dan kehidupan mangsa dapat dipulihkan secepat mungkin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit