Akta URA Perlu Diperhalusi Secara Mendalam – Gulam Muszaffar
KUALA LUMPUR, 21 Mac – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berpandangan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) perlu diperhalusi secara mendalam.
Ujarnya, URA telah bermula pada tahun 1964 melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah Kerajaan Negeri Selangor.
“Jika disingkap tahun 1964, sebenarnya URA telah bermula dibawah kerajaan negeri Selangor. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah memainkan peranan memajukan kawasan penempatan seperti di bandar Shah Alam, Bangi Damansara, Petaling dan sebagainya.
“PKNS memainkan peranan begitu signifikan untuk meningkatkan sosial ekonomi orang-orang Melayu di kawasan yang saya sebut tadi. Kawasan yang dulu setinggan, kini menjadi bandar moden, kondusif dan berdaya huni,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu mencadangkan agar Perbadanan Kemajuan Wilayah Persekutuan (PKWIP) diwujudkan untuk mengimbangi keperluan mendesak warga Wilayah Persekutuan.
“Oleh itu, saya mencadangkan dalam konteks Wilayah Persekutuan kenapa tidak diwujudkan PKWIP yang berfungsi sama seperti PKNS atau mana-mana Perbadanan Kemajuan di negeri-negeri lain. Di Kuala Lumpur banyak kawasan kejiranan seperti rumah pangsa, perumahan awam atau bangunan yang telah begitu usang, tidak sesuai dihuni dan perlukan nafas baru agar sesuai dengan peredaran zaman terkini.
“Pandangan saya cadangan PKWIP ini akan mampu mengimbangi keperluan mendesak warga Wilayah Persekutuan. Dalam waktu sama tidak sekali-kali menidakkan hak orang Melayu atau golongan yang terkesan dengan Akta URA ini. Insya-Allah fungsi PKWIP berupaya memurnikan kemelut atau kontroversi yang sedang berlegar dalam kalangan orang-orang politik dan berkepentingan.
“Selaku pemimpin politik di Wilayah Persekutuan (WP), saya dan rakan-rakan yang lain akan mengunakan ruang serta kapasiti atas platform politik untuk memperjuangkan agar PKWIP ini diwujudkan sebelum URA dilaksanakan. Memandangkan Mesyuarat-Mesyuarat UMNO Cawangan dan Bahagian yang akan berlangsung mulai April ini, alangkah molek usul PKWIP ini diangkat sehingga ke Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung Ogos nanti. Platform yang sentiasa menjadi medan pembuat dasar untuk kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO sentiasa memikirkan kemaslahatan semua pihak dan tidak membantah secara semberono.
“UMNO sentiasa memikirkan kemaslahatan semua pihak, bukan membantah secara sembrono seperti mana UMNO WP pernah memperjuangkan kawasan setinggan untuk membina rumah-rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada tahun 1997.
“Ramai membantah pada awalnya tetapi kini rumah PPR menjadi rebutan sehinggakan hampir 40,000 pemohonan… majoritinya orang-orang Melayu yang layak menghuni, masih belum dapat diisi atas masalah kekurangan unit dan tiada lagi projek dijalankan kerana isu kekurangan tanah untuk dibangunkan.
“Akhir kata, Akta URA ini perlu diperhalusi secara mendalam agar ianya tidak menjadi ‘duri dalam daging’ kepada kepentingan Melayu Bandar. Pada masa sama, sosio ekonomi orang Melayu Bandar perlu dipertingkatkan sejajar dengan arus perdana. Tidak guna berkokok dengan slogan ‘Hidup Melayu’ tetapi masih gagal menjadi bangsa yang terpuji dan dihormati. Wallahuallam,” katanya lagi. – UMNO Online