Santuni Yang Memerlukan… Pak Mus Raikan Anak Yatim, Asnaf dan Ibu Tunggal
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor atau dikenali sebagai Pak Mus telah menyantuni mereka yang memerlukan dengan menganjurkan Majlis Meraikan Anak Yatim, Asnaf dan Ibu Tunggal Generasi Ke-2 pada Selasa di Palong.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya beliau memaklumkan bahawa lebih 300 penerima bantuan telah hadir untuk menerima sumbangan bagi meringankan beban ditanggung mereka.
“Alhamdulillah, kita telah sama-sama menyaksikan satu majlis yang penuh makna dan keberkatan. Pak Mus telah menganjurkan Majlis Meraikan Anak Yatim, Asnaf dan Ibu Tunggal Generasi Ke-2, berlangsung dengan cukup meriah di Masjid Al-Taqwa Kariah Felda Palong 14, 15 dan 16.
“Suasana majlis bukan sekadar menyantuni mereka yang memerlukan, tetapi turut menyatukan hati-hati kita dalam kasih sayang dan keprihatinan.
“Lebih 300 penerima bantuan telah hadir iaitu 107 anak yatim dan 195 ibu tunggal, masing-masing menerima sumbangan yang diharapkan dapat meringankan beban serta menceriakan hari-hari mereka,” katanya.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan berkata, usaha berterusan ini telah dijalankan selama enam tahun untuk membantu golongan-golongan tersebut.
“Tahun ini, genap enam tahun usaha ini dijalankan secara berterusan buat golongan-golongan ini. Ini bukan sekadar pemberian, tetapi tanda kasih dan sokongan kita kepada mereka yang diuji dalam kehidupan.
“Pak Mus juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat Datuk Abdul Hamid P.V Abdu, Datin Hajaran Bibi Amiran dan Ehsan Group of Companies yang dengan kemurahan hati telah menjayakan majlis ini.
“Bantuan yang diberikan bukan sekadar wang ringgit, tetapi lebih kepada harapan, semangat dan ingatan bahawa mereka tidak keseorangan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berhasrat untuk meneruskan usaha yang telah dijalankan ini pada masa akan datang.
“Jutaan terima kasih juga kepada semua yang terlibat, daripada penganjur, sukarelawan… hingga ke insan-insan yang menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk. Tanpa kalian, majlis ini tidak mungkin dapat berjalan dengan lancar. Pak Mus juga akan memastikan usaha ini tidak berhenti disini sahaja, bahkan akan terus berlangsung untuk melihat kebahagian semua golongan terutama yang memerlukan.
“Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT, menjadi amal jariah buat kita semua dan membuka lebih banyak pintu rezeki untuk memberi serta berkongsi. Ayuh kita teruskan semangat kebersamaan ini kerana dalam memberi, ada bahagia yang tidak terhingga.
“Teruskan berbuat baik kerana sekecil mana pun pemberian, besar nilainya di sisi mereka yang memerlukan. Kita jaga kita, kita bantu kita. Terima kasih, Warga Palong,” katanya lagi. – UMNO Online