Puteri UMNO Sumbang Barang Asas, Duit Raya Kepada Pusat Jagaan Darul Sakinah
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah menyampaikan sumbangan barang asas dan juga duit raya kepada 17 orang pelajar Pusat Jagaan Darul Sakinah pada Rabu.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bersama barisan exco telah hadir untuk menyempurnakan sumbangan tersebut di pusat jagaan yang bertempat di Petaling Jaya itu.
Prihatin akan keperluan harian para pelajar yang meliputi barangan asas, Puteri UMNO Malaysia telah menyumbangkan beras, telur, tepung, biskut, susu dan sos untuk penggunaan sepanjang bulan Ramadan serta Syawal yang bakal tiba.
Ketika majlis tersebut berlangsung, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di atas sumbangan dan sokongan yang diberikan kepada Pusat Jagaan Darul Sakinah yang dikendalikan oleh ANGKASA.
Abdul Fattah turut mencadangkan agar Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menubuhkan koperasi untuk memudahkan lagi pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) secara lebih sistematik dengan kerjasama ANGKASA pada masa hadapan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Halim Ibrahim.
Diharapkan dengan sumbangan yang dihulurkan oleh Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para pelajar dan memberi keceriaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. – UMNO Online