‘Perkuat UMNO/BN, Kerajaan Perpaduan Supaya Kekal Wakili DUN Ayer Kuning’ – Saarani
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyeru seluruh jentera dan akar umbi untuk memperkuatkan Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan agar terus kekal mewakili mandat rakyat Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak telah bersama dengan masyarakat Kampung Sungai Kurong, malam tadi.
“Kita santai-santai moreh dengan anak muda dan orang-orang Kampung Sungai Kurong lepas selesai terawih malam tadi.
“Sambil-sambil mereka berbarbeku, saya kongsikan sedikit sebanyak isu-isu semasa yang berlaku di negeri dan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kini sudah menjadi tanggungjawab pemimpin akan datang untuk meneruskan legasi kepimpinan mantan ADUN Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Rata-rata semua merindukan kepimpinan dan saat-saat bersama Allahyarham Ishsam Shahruddin. Banyak yang telah beliau bantu untuk pembangunan dan kebajikan orang-orang Kampung Sungai Kurong.
“Kini jadi tanggungjawab kita untuk teruskan legasi perjuangan beliau pula. Sama-sama kita perkuatkan parti supaya BN dan Kerajaan Perpaduan terus kekal mewakili mandat rakyat Ayer Kuning. Insya-Allah,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online