Penerangan UMNO Laksana Persediaan Awal Menjelang PRK Ayer Kuning – Azalina

TAPAH, 20 Mac – Gerak kerja Penerangan UMNO Malaysia bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah dilaksanakan sebaiknya menjelang hari berkempen pada April ini, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi berkata meskipun berada di bulan Ramadan namun ia tidak menjejaskan perjalanan yang telah disusun oleh Penerangan UMNO sebagai persediaan menjelang hari pengumuman calon.

“Walaupun bulan puasa jentera Penerangan negeri dan Pusat kita sudah mula gerakkan. Sebab apa pun kita harap apabila calon telah diumumkan gerakan-gerakan akan lebih fokus pada calon yang diketengah.

“Saya harap pengundi di Ayer Kuning ini akan membuatkan pilihan yang tepat kerana kita mahukan kesinambungan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Azalina ditemui pada Perjumpaan Bersama Ketua-ketua Penerangan Bahagian Empat Peringkat UMNO Negeri Perak di Dewan UMNO Bahagian Tapah pada Selasa.

Mengulas lanjut dalam landskap PRK ini, beliau turut memberikan pandangan bahawa personaliti calon merupakan elemen penting kepada sokongan pengundi kepada UMNO/Barisan Nasional.

Menurut beliau ini kerana, rakyat mahukan pemimpin berkaliber dalam membawa aspirasi mereka di Dewan Undangan Negeri Perak kelak.

“Saya selalu melihat dalam mana pilih PRK, calon 50 peratus dan 50 peratus adalah jentera pada parti sebab calon itulah yang akan berkhidmat lepas habis buang undi. Dan kita nak pilih calon yang akan memberikan keutamaan kepada pengundi.

“Kalau kita pilih calon hanya kerana isu politik sahaja tapi tidak memberi perkhidmatan,yang menjadi masalah pengundi. Jadi saya nak minta pada pengundi supaya kita pilih calon yang dapat memberi kesinambungan pada kerja yang dilaksanakan oleh arwah sebagai mantan ADUN di sini.

“Insya-Allah saya harap, sebab bagi saya calon ini sangat-sangat penting. Yang akan ditetapkan oleh Pengerusi Perhubungan Perak dan Presiden parti,” ujar beliau.

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit