Pemuda UMNO Kelantan ‘Sekolahkan’ MB Kedah, Jangan Cakap Suka-Suka Tanpa Akal
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Rosdi Razali tampil ‘menyekolahkan’ Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas satu klip video tular menunjukkan pemimpin Pas itu menyindir kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO dalam persediaan kempen Perikatan Nasional (PN) di Ayer Kuning, baru-baru ini.
Tegasnya, sesungguhnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah adalah bersifat dangkal dan kurang bijak serta memperlihatkan pimpinan Pas masih tidak mengamalkan politik matang dan sejahtera.
“Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ni sedar atau tidak, ‘reti’ atau tidak beza antara ‘Unity Government’ dengan ‘tunggangan’.
“UMNO berada dalam keadaan sekarang bukan kehendak yang utama, tapi kami akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDP) Agong yang berkehendakan satu ‘Unity Government’ ditubuhkan kerana tidak ada satu parti politik yang mampu membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
“Hal ini berlaku dek kerana kepimpinan PN yang bodoh sombong ingkar saranan awal dan titah YDP Agong yang tidak bersetuju agar PN dan Pakatan Harapan (PH) bergabung membentuk kerajaan baharu selepas PRU ke-15,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tumpat mengingatkan bahawa Pas pernah menjadi ‘tunggangan’ Dap dalam Pakatan Rakyat.
“Ada pemimpin Pas sendiri yang keluarkan fatwa ‘Wajib Undi Dap’ sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan dulu.
“Dulu Pas sanggup sujud kepada Dap, sekarang nak berlagak suci? Kata dulang, paku serpih,” sindir beliau.
Tambah Rosdi lagi, selepas Pas kembali menjadi pembangkang, mereka semakin meroyan dan terdesak mahu kembali ke tampuk kuasa hingga sanggup menabur pelbagai fitnah terhadap UMNO.
“Cukuplah berdrama, rakyat tak bodoh. Mereka tahu siapa pemimpin yang ikhlas dan siapa yang hanya tahu berpolitik tanpa isi,” tegasnya lagi.
PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, memenangi kerusi DUN berkenaan pada PRU ke-15 dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – UMNO Online