MB Johor Turun Padang Santuni Mangsa Banjir, Projek Tebatan Dipercepat

JOHOR BAHRU, 20 Mac – Hujan yang masih berterusan menyebabkan keadaan banjir di Johor semakin membimbangkan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa agar rakyat terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Beliau turut berkesempatan turun padang menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, hari ini.

Menurut laporan terkini, seramai 1,015 mangsa daripada 299 keluarga telah dipindahkan ke 10 PPS yang dibuka di tiga daerah terjejas, iaitu Johor Bahru, Kulai, dan Pontian.

Dalam tinjauannya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah; Pegawai Daerah Johor Bahru dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Onn Hafiz turut melihat sendiri keadaan air sungai di kawasan terjejas.

Beliau telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir berulang di negeri ini.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah atau melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor.

“Saya akan memastikan segala usaha yang dirancang dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan dan keselamatan Bangsa Johor,” tegasnya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Johor agar terus berwaspada dan sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa agar usaha pengurusan banjir dapat berjalan dengan lancar.

“Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit