Jelajah Ramadan UMNO Kinabatangan Realitikan Khidmat Kepada Rakyat
KINABATANGAN – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama barisan kepimpinan UMNO Bahagian meneruskan tradisi menyantuni rakyat menerusi Jelajah Ramadan UMNO Kinabatangan.
Turut serta dalam program ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin; Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim; Ketua Puteri UMNO Kinabatangan serta pemimpin-pemimpin bahagian lain.
Program yang berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lubukan di Kampung Sepinong dan PDM Tanjung Aru ini tetap diteruskan walaupun hujan lebat berterusan sejak semalam.
Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan , program ini merupakan inisiatif tahunan yang beliau dan Jafry usahakan sejak beberapa tahun lalu bagi membantu golongan asnaf serta masyarakat setempat yang memerlukan.
“Syukur alhamdulillah, walaupun cuaca kurang mengizinkan, kami tetap turun padang untuk bertemu dengan asnaf di kedua-dua lokasi.
“Kami berharap program ini dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau turut menyeru agar bulan Ramadan dijadikan sebagai pemangkin ke arah kehidupan yang lebih baik serta memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“UMNO dan Barisan Nasional akan terus bersama rakyat, membantu mereka dalam apa jua keadaan,” tegas Bung Moktar.
Program ini sekali lagi membuktikan komitmen UMNO Kinabatangan dalam memperjuangkan kebajikan rakyat, terutama golongan yang memerlukan, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. – UMNO Online