Puteri UMNO Tawau Terus Dekati Golongan Muda
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ketua Puteri UMNO Tawau, Noratika Awang, menegaskan komitmen pihaknya dalam mendekati golongan muda bagi meyakinkan mereka untuk memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, pelbagai pendekatan telah diambil dengan kerjasama kepimpinan UMNO dan BN di Tawau bagi memastikan mesej perjuangan parti sampai kepada anak muda.
“Kami terus berusaha mendekati dan meyakinkan golongan muda dengan menjelaskan pencapaian UMNO/BN dalam membangunkan Sabah, khususnya bagi kepentingan mereka. Kami ingin terus memastikan Sabah lebih gemilang pada masa depan.
“UMNO/BN telah banyak menyumbang kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat Sabah. Oleh itu, adalah penting untuk kita terus menyampaikan maklumat yang jelas dan benar kepada generasi muda agar mereka dapat membuat keputusan terbaik,” katanya kepada UMNO-Online.
Noratika turut menambah bahawa ulang tahun UMNO Sabah yang ke-34 baru-baru ini menjadi pemangkin semangat untuk terus bergerak ke hadapan.
“Golongan muda perlu menyedari bahawa UMNO/BN telah lama berkhidmat kepada rakyat Sabah, berbanding parti-parti baharu yang muncul. Sepanjang 34 tahun di Sabah, UMNO/BN telah menunjukkan kematangan dan pengalaman dalam pentadbiran.
“Kita telah melihat sendiri apa yang UMNO/BN telah lakukan untuk rakyat Sabah. Oleh itu, saya menyeru golongan muda agar membuka mata, hati, dan fikiran mereka. Bandingkan kehidupan kita dahulu dan masa hadapan. Insya-Allah, kami akan terus berjuang membela nasib rakyat dan membawa Sabah ke arah yang lebih maju,” ujarnya. – UMNO Online