Kerajaan Negeri Perak Komited Noktah Kemiskinan Rakyat
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kerajaan Negeri Perak sentiasa komited dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan rakyat di negeri tersebut, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak telah menyantuni para penerima Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Ayer Kuning, Tapah pada Selasa.
“Menyantuni para penerima Bantuan JKM dalam Program Santunan Kasih Kerajaan Negeri Perak di Dewan Serbaguna Ayer Kuning, Tapah. Kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan rakyat di negeri ini.
“Melalui kerjasama baik dengan agensi kerajaan persekutuan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk memastikan golongan berpendapatan rendah mendapat bantuan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Jelasnya, usaha tersebut dijayakan menerusi pelbagai program pembangunan ekonomi untuk memperkasakan ekonomi rakyat di negeri tersebut.
“Antaranya menerusi pelbagai program pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, bantuan sosial dan akses kepada pendidikan serta kesihatan yang berkualiti telah kita perkenalkan.
“Fokus utama kita adalah untuk memperkasakan ekonomi rakyat dan syukur alhamdulillah hasilnya semakin dirasai rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berkesempatan menyerahkan pek Aidilfitri kepada para penerima bantuan dan berharap agar ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam membuat persiapan menyambut hari raya.
“Saya turut berkesempatan menyerahkan pek Aidilfitri kepada mereka yang memerlukan. Mudah-mudahan ia sedikit sebanyak membantu dalam membuat persiapan hari raya kelak.
“Hadir bersama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed,” katanya lagi. – UMNO Online