Semai Semangat Perpaduan, Rakyat Perlu Berpadu Demi Keharmonian – Nurul Amal
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, menekankan kepentingan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia bagi memastikan keharmonian negara terus berkekalan.
Menurutnya, Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama, justeru nilai hormat-menghormati perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat.
“Semangat perpaduan ini perlu ada di setiap rakyat Malaysia kerana di negara ini terdapat pelbagai kaum dan agama, malah Islam juga mengajar umatnya menghormati antara satu sama lain.
“Semoga rakyat Malaysia dapat mengekalkan semangat perpaduan kerana ke mana sahaja pergi kita tetap warganegara Malaysia. Nama baik negara ini sentiasa dibawa ke mana sahaja dan pupukkan bersama supaya kita menjadi negara contoh dari negara-negara lain.
“Saya harap rakyat Malaysia terus menghormati agama masing-masing dan sekiranya terdapat adanya persefahaman hormati agama masing-masing maka tidak akan timbul isu-isu yang tidak menyenangkan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Pada masa yang sama Nurul Amal, semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia terus menjadi tonggak utama menuju kestabilan negara.
“Keharmonian kaum adalah kunci utama negara menuju kestabilan dan kemajuan, bahkan peningkatan ekonomi, sosial serta kesatuan rakyat yang teguh memberi jaminan terhadap masa depan yang lebih cerah.
“Kita semua mempunyai peranan masing-masing dalam mengekalkan keharmonian. Tanpa semangat perpaduan ini segala matlamat yang hendak capai tidak akan dicapai secara menyeluruh,” katanya lagi. – UMNO Online