‘Elakkan Pakatan Berasaskan Kepentingan Politik Jangka Pendek’ – Salleh
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Salleh Said Keruak berpandangan sesebuah pakatan politik perlu dibina atas visi jelas, dasar kukuh dan kestabilan jangka panjang untuk mentadbir dengan berkesan.
Beliau yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata walaupun jumlah kerusi penting untuk membentuk kerajaan, namun pakatan yang hanya bergantung pada survival politik sering berakhir dengan perpecahan dan ketidakstabilan.
“Kestabilan adalah kunci untuk meyakinkan rakyat. Pakatan yang kukuh mesti mempunyai proses membuat keputusan yang tersusun, kepimpinan yang jelas, dan hala tuju dasar yang dipersetujui bersama.
“Elakkan pakatan berasaskan kepentingan politik jangka pendek. Pakatan sebegini mungkin menang pilihan raya, tetapi sering gagal mentadbir dengan baik kerana perebutan kuasa dalaman.
“Menang pilihan raya bukan matlamat akhir. Soalan sebenar adalah apa yang akan dilakukan selepas menang? Pakatan mesti ada pelan hala tuju yang jelas untuk mentadbir dengan baik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Salleh sebaliknya ekonomi mesti menjadi keutamaan utama malah pakatan yang kuat perlu menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, menarik pelaburan dan mengukuhkan sumber pendapatan Sabah.
Katanya lagi, penyelesaian pantas diperlukan untuk isu mendesak kerana rakyat mengharapkan tindakan segera terhadap kos sara hidup, pengangguran dan masalah infrastruktur serta berkemampuan memberikan penyelesaian yang cepat.
“Menyusun semula ekonomi untuk pertumbuhan jangka panjang adalah penting. Sabah perlu mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan persekutuan dan membangunkan model ekonomi yang lebih mampan untuk generasi akan datang.
“Pakatan politik mesti berpandukan tiga prinsip utama iaitu politik pembangunan dengan memberi keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur; politik akomodasi iaitu memastikan semua komuniti merasa dilibatkan dan politik autonomi dengan memperkasakan hak keupayaan ekonomi Sabah.
“Pakatan mesti dibina atas dasar yang kukuh, bukan sekadar strategi pilihan raya. Pakatan yang terancang dengan baik bukan sahaja akan menang pilihan raya, tetapi juga memastikan kestabilan politik dan ekonomi yang berpanjangan untuk rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online