Ahmad Zahid Lahir Rasa Dukacita, 8 Petugas MAPIM Terbunuh Serangan Di Gaza
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah menyatakan rasa sedih dan berdukacita atas pemergian lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang terkorban dalam serangan udara kejam di Gaza.
Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya, beliau menyifatkan mereka sebagai wira kemanusiaan yang telah berjuang tanpa mengenal lelah untuk membantu saudara-saudara kita yang tertindas.
Pemergian mereka, menurut Ahmad Zahid, adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada MAPIM, tetapi juga kepada seluruh umat yang memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.
Zahid juga mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan yang berlaku di Gaza dan menyeru agar masyarakat antarabangsa tidak berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan di bumi Gaza.
“Marilah kita terus berdoa, bersolidariti dan menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam apa jua cara yang termampu. Semoga roh para syuhada ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya lagi.
Serangan yang mengorbankan lapan petugas kemanusiaan MAPIM ini menambah kepada rentetan kekejaman yang sedang berlaku di Gaza, yang turut mendapat perhatian dan kecaman antarabangsa. – UMNO Online