Ziarah Kasih Ramadan UMNO Labuan 2025 Perkasa Keprihatinan Sosial

LABUAN, 17 Mac – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, UMNO Bahagian Labuan meneruskan tradisi tahunan dengan melaksanakan program ‘Ziarah Kasih Ramadan’ bagi menyantuni masyarakat yang memerlukan.

Ketuanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, pgogram ini bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan serta memperkukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat.

Terdahulu beliau bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Bashir Alias, serta kepimpinan lain telah turun padang ke Zon 5 bagi menyempurnakan agihan sumbangan wang zakat dan barangan keperluan dapur kepada penerima yang layak.

“Program ini mencerminkan komitmen UMNO Labuan dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat setempat, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang menuntut umat Islam untuk memperbanyakkan amal kebajikan dan bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

“Ibadah sedekah merupakan satu amalan yang amat dituntut oleh agama, dan dengan berkongsi rezeki bersama golongan yang kurang bernasib baik, diharapkan keberkatan serta rahmat Allah SWT sentiasa mengiringi semua pihak yang terlibat,” katanya kepada UMNO Online.

Sebelum kunjungan ke Zon 5, program Ziarah Kasih Ramadan telah berlangsung di Zon 3 yang merangkumi kawasan Bukit Kallam, Sungai Bangat, Billan, dan Bukit Kuda.

Ujar Mohd Rafi, di setiap lokasi, pasukan UMNO Labuan turun padang untuk bertemu dengan masyarakat, mendengar keluhan mereka serta menyampaikan sumbangan secara langsung.

“Kesungguhan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan pemimpin dalam memahami keperluan rakyat dan berusaha memberikan bantuan yang terbaik.”

Selain menyampaikan sumbangan, katanya, program ini turut menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memupuk semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat.

“Usaha seperti ini bukan sahaja meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan, tetapi juga memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk sentiasa mengutamakan nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan dalam kehidupan seharian.

“Semoga usaha murni ini mendapat ganjaran yang berlipat ganda di sisi Allah SWT dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebajikan yang dapat dilaksanakan di masa hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit