Tuduh UMNO Sabah… Jangan Cakap Ikut Sedap Hati Jika Kail Panjang Sejengkal – Awang Aslee

BEAUFORT, 17 Mac – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, menempelak pihak yang sering menuduh UMNO Sabah sebagai Parti Malaya namun dalam masa yang sama memerlukan sokongan dan bantuan daripada parti di Pusat.

Beliau menegaskan bahawa UMNO Sabah bukan sekadar entiti politik yang bergantung kepada parti lain tetapi sebaliknya memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, malah, beliau mengingatkan bahawa pihak yang mengkritik UMNO Sabah juga bergantung kepada bantuan dan sokongan daripada parti-parti lain, termasuk dari peringkat pusat.

“Jangan cakap ikut sedap hati saja, jika kail hanya panjang sejengkal. Hakikatnya, dalam politik, kerjasama adalah kunci kepada kestabilan dan kemajuan. Mereka yang menuduh UMNO Sabah sebagai parti Malaya perlu melihat realiti sebenar bahawa mereka juga memerlukan sokongan pihak lain untuk terus relevan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan UMNO Sabah adalah untuk memastikan hak dan kepentingan rakyat negeri itu terus terpelihara, selari dengan matlamat pembangunan yang lebih besar di peringkat nasional.

Tambahnya, sebarang persepsi negatif terhadap UMNO Sabah hanya akan merugikan rakyat negeri itu sendiri.

“Kita harus bersikap matang dalam politik. Apa yang lebih utama adalah memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus dipelihara melalui dasar dan pelaksanaan yang berkesan. Politik perpecahan dan retorik sempit tidak akan membawa sebarang manfaat,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Awang Aslee hadir dalam Program Ziarah Ramadan yang berlangsung di Surau Effah Badungun, Kuala Penyu, dengan menyampikan sumbangan kepada seramai 20 penerima asnaf sempena bulan mulia ini.

Katanya, inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban golongan asnaf, selain memperkukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Turut hadir bersama ialah ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Ak Mohd Yazri Yahya.

“Kehadiran kami serta sumbangan yang diberikan mencerminkan komitmen dalam menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit