Terus Teguh, Transformasi UMNO Untuk Kekal Relevan – Norshida

JOHOR BAHRU, 17 Mac – Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim, menegaskan bahawa UMNO tidak berada di ‘hujung nyawa’ seperti yang didakwa, tetapi sebaliknya sedang melalui fasa pemulihan dan transformasi bagi memastikan ia kekal relevan dalam arena politik negara.

Dalam satu kenyataan Norshida mengakui bahawa parti itu sedang menghadapi cabaran besar, namun menegaskan bahawa UMNO masih mempunyai akar yang kukuh dalam politik Malaysia.

Beliau menekankan kepimpinan, reformasi dalaman, ketelusan, serta perpaduan sebagai elemen penting yang perlu diberikan perhatian untuk memastikan kelangsungan dan kekuatan parti ini.

Menurutnya, UMNO perlu menangani krisis kepimpinan yang berpotensi mengakibatkan kekeliruan dalam hala tuju parti.

“Di era transformasi politik ini, kepimpinan yang kukuh dan mempunyai visi jelas amat diperlukan untuk membawa suara serta harapan rakyat ke hadapan,” katanya.

Norshida turut mengakui wujudnya rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat terhadap prestasi UMNO, terutamanya dalam aspek ketelusan dan integriti.

“Isu seperti rasuah serta keperluan menyesuaikan dasar dengan keperluan semasa adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan,” tambahnya.

Sehubungan itu, UMNO juga, menurut Datuk Norshida, perlu melaksanakan reformasi dalaman bagi menyesuaikan diri dengan perubahan zaman antaranya dengan penjenamaan semula yang menyeluruh, termasuk dalam aspek politik, sosial dan ekonomi, diperlukan bagi menarik kembali sokongan terutama daripada generasi muda.

Katanya, dalam usaha memperkukuh kedudukannya, UMNO disarankan untuk meningkatkan kerjasama dengan parti-parti lain bagi membina kekuatan bersama dalam menangani cabaran negara.

“Perpaduan antara parti politik, meskipun berbeza pandangan, adalah kunci kepada kestabilan politik negara,” ujar beliau.

Norshida turut menyeru ahli UMNO untuk bersedia menghadapi cabaran politik dengan tindakan yang lebih proaktif dan penglibatan lebih mendalam dalam masyarakat.

“Keberanian untuk berubah dan mendengar suara rakyat adalah elemen penting dalam memastikan kelangsungan UMNO,” katanya.

Beliau juga menegaskan walaupun UMNO berdepan kritikan dan cabaran, jasa serta sumbangan parti itu terhadap orang Melayu dan negara tidak boleh dinafikan.

“UMNO kekal sebagai platform utama dalam membela hak orang Melayu dan memperjuangkan masa depan mereka di pentas politik. Perjuangan ini harus diteruskan dengan tekad yang lebih kuat,” katanya.

Beliau turut menyeru semua ahli dan penyokong UMNO untuk bersatu dalam usaha memperkukuh parti dan memastikan ia terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit