Semangat Perpaduan Bukti Kerajaan Madani Berfungsi Dengan Baik – Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang berteraskan Kerajaan Madani mampu berfungsi dengan baik walaupun dibarisi oleh pelbagai parti politik.
Beliau berkata, keupayaan kerajaan hari dalam menguruskan kepelbagaian politik membuktikan bahawa konsep perpaduan yang diketengahkan benar-benar dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Saya melihat sendiri bagaimana Kerajaan hari ini berfungsi dengan pola fikir parti politik yang pelbagai dalam kerajaan ini iaitu Kerajaan Madani dengan hasilnya dapat berfungsi cukup baik sekali.
“Paling penting konsep perpaduan ini yang dianjurkan oleh Kerajaan Madani dapat dilebarkan pada kehidupan masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi.
“Mudah-mudahan ianya dapat memberikan semangat perpaduan yang tinggi kepada masyarakat. Paling penting gagasan yang dibuat adalah untuk mengukuh perpaduan dalam masyarakat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Tambah Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat mengambil berat tentang perpaduan, bukan hanya dikalangan politik tetapi juga dikalangan rakyat.
“Paling penting kita kena hargai bahawa perpaduan ini dapat melahirkan masyarakat yang aman, damai dan bertoleransi serta saling hormat menghormati serta faham memahami.
“Usaha memperkukuhkan perpaduan harus menjadi keutamaan semua pihak bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara,” ujarnya.
Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 melibatkan pelbagai parti utama, termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain.
Kerajaan ini berteraskan prinsip Kerajaan Madani yang menekankan perpaduan, kestabilan politik dan pembangunan negara secara inklusif. – UMNO Online