Saarani Ke Bidor, Sampaikan Bantuan ‘Meriah Beraya Sejahtera Bersama’
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah ke Bidor, Tapah untuk menyampaikan bantuan sempena Program ‘Meriah Beraya Sejahtera Bersama’ pada Ahad.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM1.35 juta telah diperuntukkan untuk program tersebut membabitkan 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Turun ke Bidor menyerahkan bantuan Program ‘Meriah Beraya Sejahtera Bersama’ untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Sejumlah RM 1.35 juta diperuntukkan untuk program ini membabitkan 59 kawasan DUN dan seramai 9,000 orang penerima akan mendapat manfaat, dengan nilai bantuan RM150 bagi setiap penerima,” katanya.
Ujarnya, seramai 150 orang telah menerima bantuan tersebut di Bidor dan program akan diteruskan lagi ke daerah-daerah lain sehingga tiba sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Di Bidor, seramai 150 orang terlibat dan seterusnya kita akan ke daerah-daerah lain untuk menyampaikan bantuan ini sehingga tibanya hari raya. Syukur Alhamdulillah, terpancar keriangan di wajah mereka yang menerima manfaat ini.
“Walaupun nilainya tidaklah sebesar mana, namun besar di mata mereka yang memerlukannya. Niat kita hanya satu, supaya dapat sama-sama merasai nikmat kemanisan Aidilfitri tak kira siapa,” katanya. – UMNO Online