Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru: Era Baharu Pengangkutan Rel di Johor

JOHOR BAHRU, 17 Mac – Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) kini memasuki fasa pelaksanaan penuh dengan perkhidmatan tren elektrik (ETS) mula beroperasi secara berperingkat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyatakan bahawa perkhidmatan ETS di Segamat telah bermula pada 15 Mac, diikuti Labis pada bulan April, Kluang pada bulan Mei, sehingga ke Johor Bahru pada bulan September.

Katanya, projek ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada bulan yang sama.

“Semasa lawatan ke Stesen KTM Layang-Layang, saya berpeluang meninjau sendiri perkembangan projek ini serta memastikan kerja-kerja infrastruktur berjalan lancar demi keselesaan rakyat,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Ujarnya, dengan adanya landasan berkembar ini, perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral hanya mengambil masa 3 jam 30 minit, menjadikannya pilihan lebih pantas dan efisien. Laluan sepanjang 192km ini merentasi Segamat, Kluang, Kulai, dan Johor Bahru sebelum tiba di JB Sentral.

“Dengan kelajuan sehingga 160 km/j, tren elektrik ini mampu menampung kapasiti penumpang dengan 22 perjalanan sehari dan menawarkan 346 tempat duduk setiap tren.

“PLBEGJB merupakan satu lonjakan besar dalam sistem pengangkutan rel negara, khususnya di selatan tanah air. Projek ini melengkapkan jaringan Landasan Berkembar Elektrik KTMB di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, menghubungkan Johor Bahru hingga ke Padang Besar.

“Projek ini merupakan sebagai sebahagian daripada transformasi infrastruktur negeri Johor. Semoga perkhidmatan ini akan membawa manfaat besar kepada rakyat dan negeri Johor, menjadikannya lebih maju dan berdaya saing. Insya-Allah,” tambah Onn Hafiz lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit