PRK Ayer Kuning: Gerak Kerja Giat Berjalan, Dekati Para Pengundi
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Gerak kerja untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sedang giat dijalankan bagi mendekati para pengundi.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din berkata, pelbagai program telah diadakan dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turun hampir setiap hari ke Tapah.
“Kita dah memulakan gerak kerja sebaik sahaja tahu akan berita pemergian Allahyarham Ishsam Shahruddin. Kita selesaikan semua urusan pengebumian dan sebagainya.
“Semenjak itu, kita dah memulakan gerak kerja untuk menghadapi PRK Ayer Kuning ini. Setiap hari kita mengadakan program. Menteri Besar juga turun hampir setiap hari ke Ayer Kuning dan Tapah.
“Semua ini diadakan untuk kita dekati para pengundi bermula sekarang sehingga hari pengundian nanti. Alhamdulillah dari segi persiapan kita lihat agak baik. Kita mula mengorak langkah menuju ke hari penamaan calon dan juga hari mengundi,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, masyarakat memberi respons yang baik kerana Ishsam menjaga kawasan DUN Ayer Kuning itu dengan baik semasa hayatnya dan ia memudahkan pergerakan UMNO/BN untuk terus berkempen.
“Kita lihat respons daripada masyarakat secara umum baik di Tapah mahupun di Ayer Kuning khususnya juga cukup baik. Ini kerana kita dapati bahawa Allahyarham Ishsam ‘deliver’ dengan cemerlang semasa hayatnya di kawasan Ayer Kuning.
“Banyak ‘success story’ yang kita lihat telah dibuat oleh Allahyarham Ishsam dan ianya memudahkan pergerakan kita untuk kita terus berkempen pada PRK Ayer Kuning ini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman