Imarah Ramadan UMNO Sabah Bersama Rakyat, Asnaf – Bung Moktar
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kedatangan Ramadan sebagai pengikat dalam mengukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli UMNO.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berkata ia penting sebagai mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Mudah-mudahan iftar Ramadan ini dapat memberikan kita kesungguhan, satu ikatan kepada semua dalam jiwa sebagai satu pasukan untuk memastikan kemenangan kita dalam pihak rakyat Sabah.
“Alhamdulillah, ini adalah tahun yang seterusnya iaitu UMNO Sabah tidak ketinggalan. Walaupun kita dalam keadaan ribut taufan, tidak berjawatan masih bersama-sama dengan bukan saja penyokong kita, tapi masyarakat pimpinan UMNO di peringkat bahagian masing-masing,” katanya.
Bung berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jelajah Aspirasi Dua Tahun Kepimpinan YAB Timbalan Perdana Menteri di Zon 2, Sabah yang diadakan di Sepanggar semalam.
Turut hadir Setiausaha Politik YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Jamal Nerubi; Ketua UMNO Sepanggar, Datuk Yaakub Khan serta kepimpinan lain.
Majlis ini juga dilaksanakan bagi meraikan asnaf sekitar kawasan tersebut bagi pemberian sumbangan kepada mereka dalam menghadapi Ramadan ini.
“Ini antara lainnya, bahawa memperlihatkan pemimpin UMNO ini benar-benar prihatin dengan masalah rakyat.
“Program ini bukan hanya di Sepanggar, tapi juga berlaku di seluruh kawasan negeri Sabah.,” ujar beliau. – UMNO Online