Iftar Bersama Orang Asli Erat Hubungan Kekeluargaan – ADUN Johol
JOHOL, 17 Mac – Majlis Iftar Ramadan bersama masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Air Lerek, Johol berlangsung dengan meriah sebagaimana tujuannya mengeratkan silaturahim antara komuniti selain menyemarakkan semangat perpaduan dalam bulan Ramadan.
Majlis dimulakan dengan sesi berbuka puasa secara beramai-ramai sebelum diteruskan dengan solat tarawih di Surau Air Lerek dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang yang menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman turut hadir dan menyeru masyarakat Orang Asli untuk terus menjaga hubungan kekeluargaan serta bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan bagi memastikan pembangunan dan kebajikan mereka terpelihara.
“Masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan khususnya di Johol perlu terus mengukuhkan hubungan sesama keluarga serta saling membantu dalam menjaga kebajikan penduduk kampung. Pada masa yang sama, kerjasama erat dengan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat dapat terus dipertingkatkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tidak akan meminggirkan nasib serta kemajuan masyarakat Orang Asli.
“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang bertanggungjawab terhadap masyarakat Orang Asli, akan terus mencari pendekatan terbaik bagi memastikan kebajikan dan keharmonian mereka sentiasa terpelihara,” tambah beliau.
Turut hadir bagi memeriahkan majlis ialah YM Penghulu Luak Inas, Pegawai JAKOA Kuala Pilah, Ketua Balai Polis Johol bersama anggota, Pengerusi JPKK kampung berhampiran, serta Pengerusi Kariah Masjid Ulu Inas.
Majlis ini diakhiri dengan sesi ramah mesra antara para tetamu dan penduduk kampung, mencerminkan keakraban serta semangat kekeluargaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat setempat. – UMNO Online