Dekatkan Diri Dengan Al-Quran, Jadikan Panduan Hidup – TPM

KUALA LUMPUR,17 Mac – Umat Islam perlu mendekatkan diri dengan kitab suci al-Quran, tadabbur atau menghayati makna ayat-ayatnya dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bersempena Nuzul Quran yang disambut esok, Ahmad Zahid berharap umat Islam terus istiqamah menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup serta mewariskan kefahaman dan kecintaan terhadap kitab itu kepada generasi akan datang.

“Bersempena Nuzul al-Quran yang dirai ini, marilah kita mendekatkan diri kepada kitab suci ini, mentadabbur ayat-ayatnya dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata al-Quran bukan sekadar bacaan tetapi juga adalah petunjuk (hudan), pembeza antara yang hak dan batil (furqan) serta sumber rahmat dan penyembuh (syifa’) bagi mereka yang menghayatinya.

“Marilah kita mengambil ibrah daripada peristiwa Nuzul Quran serta menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan panduan dalam kehidupan.

“Dengan ledakan maklumat dan perkembangan dunia yang semakin menginjak pantas, adalah penting untuk kita kembali merujuk kepada kitab al-Quran sebagai asas utama yang bersifat malar segar dan sesuai dirujuk sepanjang zaman,” katanya.

Nuzul Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan di Gua Hira, Makkah iaitu tahun ke-41 keputeraan baginda. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit