Sepuluh RUU Diluluskan Jadi Bukti Kekuatan Kerajaan Madani – Dr Azmi

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Sepuluh Rang Undang-Undang (RUU) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen baru-baru ini menjadi bukti kepada kekuatan Kerajaan Madani mentadbir negara.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, ia juga menunjukkan betapa pentingnya kerajaan yang dibentuk mempunyai majoriti lumayan.

“Sepuluh RUU yang telah dibahaskan dan diluluskan pada sidang Parlimen baru-baru ini mempamerkan dua perkara. Pertama, Parlimen itu sendiri bertindak secara efisien dan juga profesional. Itu satu hal.

“Kedua, ia turut menunjukkan bahawa betapa pentingnya kerajaan mempunyai majoriti yang agak lumayan. Dalam hal ini, kerajaan mempunyai dua pertiga majoriti. Ini penting kerana apa-apa sahaja perbahasan memerlukan undi dan pengundian.

“Sepuluh RUU yang telah diluluskan membuktikan kekuatan Kerajaan Madani dan juga menunjukkan kesungguhan kerajaan memperkenalkan akta-akta perundangan ataupun regulation yang baharu,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah diluluskan pada sidang baru-baru ini membantu institusi tersebut menjadi lebih profesional dan efisien.

“Jadi, dalam hal ini apabila Akta Perkhidmatan Parlimen diluluskan, ia adalah untuk menjadikan Parlimen lebih efisien, profesional sebagai badan legislatif yang membantu ahli-ahli Parlimen menggubal undang-undang.

“Apa yang paling penting adalah tertubuhnya Majlis Perkhidmatan Parlimen. Ia membolehkan jawatan-jawatan itu diutara dan dinilai oleh majlis ini di samping memaksa ataupun memerlukan kerajaan memperuntukkan dana untuk operasi Parlimen.

“Paling penting adalah perkhidmatan parlimen… mereka yang bertugas di Parlimen itu adalah bebas daripada sistem penjawat awam biasa. Ini adalah untuk menjadikan Parlimen itu lebih kukuh dan bebas daripada sebarang kongkongan,” katanya.

Pada 6 Mac media melaporkan, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 telah meluluskan sepuluh RUU termasuk kelulusan bersejarah RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam ucapan penutup di Dewan Rakyat berkata penggubalan RUU baharu itu dapat memastikan pemisahan kuasa yang jelas antara badan eksekutif dan legislatif serta memberikan autonomi kepada Parlimen untuk menentukan hala tuju legislatif secara tersendiri.

Beliau berkata mesyuarat kali ini juga meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dan beberapa usul termasuk usul bagi membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025, selain tiga sesi penerangan menteri diadakan di Dewan Rakyat. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit