Tabung Wakaf MARA MADANI: Memperkasa Agenda Pendidikan, Usahawan Bumiputera
KUALA LUMPUR, 15 Mac – Hari ini mencatat sejarah baharu dalam perjuangan Majlis Amanah Rakyat (MARA) apabila Tabung Wakaf MARA MADANI secara rasmi dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC), di sini.
Menurut Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sejak penubuhannya pada 1 Mac 1966, MARA kekal menjadi tunjang kepada pemerkasaan pendidikan dan ekonomi bumiputera, sejajar dengan wawasan yang digagaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.
“Seperti yang beliau tekankan, tiada jalan pintas untuk membangunkan anak bangsa selain dengan ilmu dan pendidikan.
“Hari ini, kita bukan sahaja meneruskan legasi itu, malah memperkukuhkannya dengan semangat wakaf yang memberi manfaat berpanjangan kepada generasi akan datang,” kata Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO dalam satu perkongsian di laman Facebook.
Tambah Dr Asyraf, usaha tersebut juga tidak akan berjaya tanpa komitmen berterusan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang sentiasa menekankan kepentingan memperkukuh agenda pendidikan buat anak bangsa.
Sehingga kini jelas Dr Asyraf, MARA telah melahirkan hampir 2.8 juta alumni merangkumi ekosistem pendidikan dan latihan seperti MRSM, IKM, KPM, KKTM, GIATMARA, KPTM, UniKL, UPTM atau IPMA MARA seramai 1.7 juta alumni serta institusi unggul seperti UiTM yang mempunyai seramai 1.08 juta alumni.
Justeru itu, Dr Asyraf berkata dengan pelancaran Tabung Wakaf MARA MADANI, ia dapat mengangkat makna ihsan dan kemanusiaan ke tahap lebih tinggi.
“Ini bukan sekadar inisiatif kewangan, tetapi satu usaha kolektif untuk memastikan pendidikan dan pembangunan keusahawanan bumiputera terus berkembang dengan lebih lestari.
“Semoga inisiatif ini mendapat keberkatan dan menjadi pemangkin kepada agenda besar memperkasa modal insan bumiputera, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya lagi. – UMNO ONLINE