Santunan Kasih Ramadan: KKDW Perkukuh Hubungan Dengan Warga Desa

KANGAR, 15 Mac – Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas sokongan berterusan terhadap usaha RISDA dalam memperkasa komuniti pekebun kecil getah.

Menurut beliau, komitmen Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam program pembangunan desa mencerminkan iltizam tinggi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkukuh inisiatif pembangunan luar bandar.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di atas kesudian melapangkan masa dan ia mencerminkan iltizam dan komitmen KKDW terhadap inisiatif pembangunan desa.

“Program Santunan Kasih Ramadan ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh KKDW dengan kerjasama jabatan, agensi atau lembaga wilayah di bawah KKDW dengan memfokuskan kepada usaha bagi memperkukuh hubungan di antara kerajaan dan seluruh warga desa.

“Berpaksikan aspirasi desa MADANI cetusan Menteri KKDW, pelaksanaan ini berkonsepkan menyantuni seluruh warga desa, di samping membantu golongan yang memerlukan melalui penyampaian sumbangan, aktiviti kebajikan serta pengisian kerohanian dalam menghayati bulan Ramadan yang penuh barakah ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman serta kepimpinan UMNO, akar umbi parti seluruh negeri, pekebun-pekebun RISDA serta masyarakat setempat.

Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara menjelaskan RISDA sentiasa komited dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan komuniti pekebun kecil, yang merupakan sebahagian daripada masyarakat desa.

“Dengan jumlah pekebun kecil kini mencapai angka lebih 500 ribu orang yang mengusahakan hampir 800 ribu hektar penanaman getah di seluruh negara, ia mencerminkan betapa signifikannya RISDA untuk memperjuangkan taraf kehidupan komuniti ini.

“Bagi RISDA negeri Perlis diperuntukkan sebanyak RM3.7 juta memastikan inisiatif yang telah dirangka dan digariskan mampu menghasilkan satu ‘outcome’ yang terbaik kepada 4,774 orang pekebun kecil di negeri ini,” katanya lagi.

Beliau juga berharap semoga usaha kerajaan melalui KKDW dan RISDA ini dalam membangunkan masyarakat desa sejahtera, termasuklah warga pekebun kecil getah makmur dapat dijayakan sepenuhnya dengan izin Allah SWT. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit