Shahaniza Anjur Buka Puasa Maran, Santuni Asnaf Dan Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin memanfaatkan Ramadan dengan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa UMNO Maran yang berlangsung semalam.

Meluahkan kesyukuran majlis berjalan lancar, beliau berkata majlis ini diadakan bagi merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat Maran.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran Majlis Berbuka Puasa UMNO Maran yang berlangsung penuh makna dan keberkatan.

“Majlis ini bukan sekadar merapatkan ukhwah sesama ahli parti dan masyarakat, tetapi turut menjadi platform untuk menyantuni golongan asnaf serta mangsa banjir di Luit,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Shahaniza yang juga Ketua UMNO Bahagian dalam pada itu turut sama mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan.

Ini termasuk sumbangan khas RISDA yang disampaikan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan kepada mereka untuk membantu meringankan beban dalam membuat persiapan Aidilfitri.

“Semoga semangat Ramadan terus membakar jiwa kita untuk memperkukuh perpaduan dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit