MARA Bakal Rangka ‘Game Plan’ Terbaik, Beri Impak Besar

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan merangka ‘game plan’ terbaik untuk memastikan segala dasar, program dan inisiatif benar-benar memberi impak besar kepada rakyat, kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, rakyat kini semakin berharap kepada MARA untuk terus menjadi peneraju dalam memperkasa bumiputera.

“Petang kelmarin dalam Mesyuarat Majlis MARA, saya menegaskan bahawa MARA adalah benteng terakhir bumiputera (the last bastion of the Malay), institusi yang menjadi harapan rakyat dalam membina masa depan lebih cerah terutamanya dalam sektor pendidikan dan keusahawanan.

“Realitinya, kita tidak punya banyak masa. Cabaran semakin besar, daya saing semakin sengit dan rakyat semakin berharap kepada MARA untuk terus menjadi peneraju dalam memperkasa bumiputera.

“Oleh itu, transformasi MARA mesti bermula sekarang. Kita perlu merangka ‘game plan’ terbaik untuk memastikan setiap dasar, program dan inisiatif benar-benar memberi impak besar kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa MARA mesti kekal relevan dan menjadi pemacu utama dalam agenda pembangunan bumiputera.

“Masa depan bumiputera bergantung pada keupayaan kita untuk menerajui perubahan, mencipta peluang baharu dan mengangkat martabat ekonomi serta pendidikan anak bangsa.

“MARA mesti kekal relevan, berdaya saing dan menjadi pemacu utama dalam agenda pembangunan bumiputera yang dibangunkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dan perjuangan mereka perlu diteruskan dengan penuh amanah demi pembangunan anak bangsa,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit