Kerajaan Negeri, Khazanah Perkukuh Kerjasama Pacu Pertumbuhan Ekonomi Johor

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersyukur kerana berpeluang mengadakan pertemuan bersama Khazanah Nasional Berhad di sini baru-baru ini.

Menurut Onn Hafiz, perbincangan tersebut bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Johor dan Khazanah dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan yang dirangka demi kemajuan serta kesejahteraan rakyat negeri itu.

“Khazanah Nasional Berhad telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri Johor melalui pelaburan strategik dalam infrastruktur, hartanah, pelancongan, pendidikan, dan pembangunan bakat.

“Sebagai pemegang pelaburan utama di Johor, khususnya dalam Iskandar Malaysia dan Desaru, Khazanah telah menyumbang kepada pembangunan Medini, Puteri Harbour, Gerbang Nusajaya dan Desaru melalui IIB, UEM Sunrise dan Desaru Coast,” katanya dalam satu catatan di laman Facebook.

Manakala dalam sektor pendidikan tambah Onn Hafiz, Khazanah membangunkan EduCity di Iskandar Puteri sebagai hab pendidikan antarabangsa dan bagi sektor pelancongan, Khazanah turut melabur di Desaru melalui pembangunan Desaru Coast, yang kini menjadi destinasi pelancongan premium di rantau ini.

Jelas Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, pertemuan itu menjadi platform penting dalam membincangkan agenda pembangunan berimpak tinggi bagi memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi utama negara dan serantau.

“Antara fokus utama adalah perkembangan pesat pembangunan negeri, termasuk perancangan menjadikan Iskandar Puteri sebagai bandar metropolitan baharu yang akan berfungsi sebagai pusat ekonomi moden dan inovasi.

“Inisiatif ini bukan sahaja merapatkan jurang antara Johor dan pusat ekonomi utama, tetapi juga meningkatkan keterhubungan strategik, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat,” ujarnya.

Seterusnya tambah Onn Hafiz, Johor kini sedang giat memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan serantau melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Dengan sokongan Khazanah dalam penyediaan ekosistem pelaburan yang kondusif, lebih banyak syarikat antarabangsa dapat menjadikan Johor sebagai pusat operasi utama mereka.

“Saya yakin, dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Khazanah, setiap inisiatif yang digariskan ini dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.

“Insya-Allah, sinergi ini akan membawa Johor ke tahap yang lebih tinggi dalam aspek ekonomi, pelaburan, dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Johor untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit