Azalina Adakan Pertemuan Dengan Speaker House Of Commons UK
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bersama delegasi Malaysia, telah mengadakan pertemuan dengan Speaker House of Commons United Kingdom, The Rt. Hon. Sir Lindsay Hoyle.
Pertemuan ini merupakan kunjungan balas selepas lawatan Sir Lindsay Hoyle ke Parlimen Malaysia pada 19 Februari yang lalu.
Dalam pertemuan tersebut, Azalina dan delegasi telah mengadakan perbincangan lanjut serta bertukar-tukar pandangan mengenai reformasi parlimen, termasuk peranan jawatankuasa pilihan dan sistem sokongan dalam meningkatkan fungsi parlimen.
“Saya mengambil peluang ini untuk memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat UK mengenai agenda reformasi perundangan yang telah dilaksanakan oleh Malaysia termasuk Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah diluluskan baru-baru ini yang disambut dengan baik oleh beliau sebagai langkah ke arah mencapai demokrasi sebenar bagi kesejahteraan negara dan rakyat.
“Saya berharap agar hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom akan bertambah kukuh dan erat susulan kerjasama baik ini.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ahli Parlimen William Leong, Khoo Poay Tiong, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, serta Senator Rita Sarimah dan Wong Chen, Ahli Parlimen Subang. – UMNO Online