UMNO Tidak Akan Berkomproni Cubaan Pertikai Teras Kestabilan Negara
KUALA LUMPUR, 12 Mac – UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempertikai, meremeh ataupun mencabar asas-asas penting yang menjadi teras kestabilan negara.
Ini terutamanya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, keistimewaan Melayu-Bumiputera tanpa sesekali menafikan hak kebebasan beragama dan berbudaya yang dijamin Perlembagaan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dalam satu kenyataan media, perkara tersebut antara yang dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada petang ini, di sini.
“UMNO memandang serius perkembangan semasa yang melibatkan isu-isu berkaitan sensitiviti keagamaan, perkauman dan Institusi Raja-Raja Melayu hingga mencetuskan kegelisahan dan ketidak-tenteraman di dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.
“UMNO menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia kekal mempertahankan prinsip Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan sebagai asas penting yang membina negara bangsa sejak merdeka. Keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam sifat kemajmukan Malaysia mesti terus dipelihara,” ujarnya lagi.
Dalam kenyataan medianya itu juga, Dr Asyraf berkata UMNO akan menggerakkan jentera dari seluruh Malaysia untuk membantu parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.
Manakala dalam perkembangan yang lain, MKT menurut Dr Asyraf telah memutuskan tarikh-tarikh untuk mengadakan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2025.
Tarikh-tarikh adalah seperti berikut:
(i) Persidangan UMNO Cawangan: 7 April hingga 25 Mei 2025
(ii) Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian: 9 Jun hingga 27 Julai 2025
(iii) Perhimpunan Agung UMNO: 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025 – UMNO ONLINE