Program Jelajah Ramadan 2025 Di Libaran Eratkan Ukhwah

LIBARAN, 12 Mac – Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, mengambil peluang sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan dengan menganjurkan Program Jelajah Ramadan 2025 di beberapa lokasi sekitar kawasan terbabit.

Ujar Suhaimi, program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, selain menyantuni rakyat serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan suci ini.

Jelajah Ramadan dimulakan di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Garinono, Batu 25, sebelum diteruskan ke Masjid Jamiur Rahman, Kampung Jaya Bakti, dan akhirnya ke Masjid Jamek Al-Abidin, Kampung Desa Permai, Ulu Dusun.

Dalam setiap persinggahan, Suhaimi yang turut disertai isteri serta rombongan berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan penduduk setempat.

Beliau turut menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan, termasuk warga emas, ibu tunggal, serta anak-anak tempatan.

Terdahulu, Suhaimi bersama isteri turut meninjau Bazaar Ramadan Sejati Walk, Batu 7, Sandakan, bagi melihat sendiri suasana perniagaan sepanjang bulan puasa.

Dalam lawatan tersebut, beliau berkesempatan berinteraksi dengan para peniaga dan pengunjung, selain meninjau gerai-gerai jualan serta bertanyakan perkembangan perniagaan.

Menurutnya, bazar Ramadan bukan sahaja menjadi pusat jual beli makanan berbuka puasa, tetapi juga platform bagi usahawan kecil menjana pendapatan tambahan.
Suhaimi berkata, komitmennya untuk terus mendekati rakyat dan memahami keperluan mereka, terutamanya dalam aspek ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Program Jelajah Ramadan ini bukan sahaja menjadi wadah mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, tetapi juga mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat di bulan yang penuh rahmat ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit