Erat Silaturahim… Saarani Santuni Warga Penjara, IPD Tapah
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah menyantuni warga Penjara Tapah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk mengeratkan silaturahim sempena bulan Ramadan pada Selasa.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak memaklumkan beliau telah memenuhi undangan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah untuk menyempurnakan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Penjara Tapah.
“Memenuhi undangan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah untuk menyempurnakan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni KDN di Penjara Tapah petang Selasa.
“Syukur alhamdulillah saya gembira dapat bertemu dengan kepimpinan dan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia yang bertugas di sini. Turut hadir, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak,” katanya.
Ujarnya, beliau berharap agar hubungan baik antara Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Penjara Malaysia ini akan terus akrab untuk kesejahteraan bersama.
“Kami juga berpeluang berbuka puasa bersama, satu pengalaman yang cukup bermakna dalam mengeratkan silaturahim serta menghargai jasa mereka yang bertugas di dalam penjara.
“Moga-moga hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Penjara Malaysia ini akan terus akrab demi kesejahteraan bersama. Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut beramah mesra dan menyantuni warga Kompleks Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Tapah dan berharap agar suasana akrab tersebut mampu memperkukuh semangat kebersamaan dalam menghayati bulan Ramadan.
“Kami sambung tarawih dan moreh di Kompleks Perumahan PDRM IPD Tapah sebaik sahaja selesai berbuka puasa serta solat Maghrib bersama Jabatan Penjara Malaysia. Sempat juga saya beramah beramah mesra dan menyantuni warga di sana.
“Suasana penuh keakraban ini bukan sahaja mengeratkan hubungan, tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan dalam menghayati Ramadan yang penuh keberkatan. Semoga ukhwah silaturahmi ini akan terus erat dan berpanjangan. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online