UMNO Papar Seru Semua Pihak Terus Semai Perpaduan, Elak Isu Sensitif
PAPAR, 11 Mac – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi, menggesa semua pihak agar bersikap rasional dan saling menghormati demi memastikan perpaduan negara terus terpelihara.
Beliau menegaskan tanggungjawab tergalas pada semua warga Malaysia untuk sentiasa komited dalam menjaga keharmonian rakyat berdasarkan prinsip yang telah termaktub dalam Perlembagaan.
Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak perlu menolak cubaan membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Kita perlu memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Oleh itu, setiap individu harus memainkan peranan dalam memastikan perpaduan yang telah lama terbina tidak tergugat,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menyentuh mengenai beberapa insiden mutakhir ini yang menunjukkan bagaimana isu sensitif boleh menjejaskan keharmonian masyarakat khususnya dalam konteks keagamaan serta isu diskriminasi kaum yang masih menjadi polemik dalammedia sosial.
“Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan dengan memainkan sentimen secara berlebihan malah cuba menangguk di air keruh untuk dijadikan isu bagi kepentingan tertentu. Keamanan negara ini harus dipertahankan bersama dengan sikap saling menghormati dan bertoleransi,” tambahnya.
Ujarnya, gangguan terhadap perpaduan rakyat hanya akan memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara secara keseluruhan.
Justeru beliau berharap agar semua pihak sentiasa berpegang kepada nilai-nilai kebersamaan dan terus memupuk semangat perpaduan untuk negara kekal aman serta makmur.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa UMNO Papar mengambil keberkatan bulan Ramadan dengan menggerakkan penyampaian bakul bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban masyarakat setempat yang memerlukan bantuan, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. Ia juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat serta menyemai semangat keprihatinan dalam kalangan rakyat.
“Semoga keberkatan Ramadan mengiringi kita semua dan usaha ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya lagi. – UMNO Online