Sultan Nazrin Rasmi Masjid Tuminah Hamidi
BAGAN DATUK, 11 Mac – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Masjid Tuminah Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta pimpinan lain menyambut ketibaan baginda sekitar 7 petang, semalam.
Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok Bunga Tanjung atau Mimusops elengi sebagai simbolik perasmian masjid tersebut.
Sultan Nazrin kemudiannya berbuka puasa bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid serta penduduk setempat lain.
Baginda juga turut bersama jemaah menunaikan solat maghrib dan Isyak, kemudiannya solat tarawih.
Masjid Tuminah Hamidi mula dibina pada tahun 2017 dan selesai pada tahun 2023.
Masjid ini dinamakan sempena nama ibu bapa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu Almarhum Raden Hamidi Abdul Fatah dan Almarhumah Tuminah Abdul Jalil.
Masjid ini mampu menampung seramai 5,000 orang jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran, serta bilik persidangan dua tingkat.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyantuni dan menyumbang duit raya kepada 300 pelajar tafiz dan anak yatim selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang mengutamakan nilai kesejahteraan, ihsan dan hormat untuk semua lapisan masyarakat.
Majlis berkenaan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak – UMNO Online