Mohd Ariff Manfaatkan Ramadan Santuni Umat Islam Di Surau, Bazar
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid meneruskan politik khidmat bakti beliau dengan menyantuni penduduk setempat bersempena Ramadan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO memanfaatkan kedatangan bulan mulia ini melalui kunjungannya ke surau untuk berbuka puasa seterusnya solat tarawih secara berjemaah bagi mengeratkan persaudaraan sesama umat Islam.
“Alhamdulillah diberi kesempatan kesihatan untuk meneruskan pusingan jelajah Masjid dan Surau. Berbuka puasa di Surau RPA Sauk dan Tarawih di Surau Kampung Jenalik Hilir.
“Menyantuni ahli kariah surau. Bertanyakan khabar mereka semua. Alhamdulillah sihat-sihat belaka semua nya dalam menjalani ibadah puasa.
“Terima kasih ahli jawatankuasa surau dan juga ahli kariah yang menerima kunjungan kami semua. Semoga amal ibadah kita dinilai sebagai sebaik amalan disisi Allah SWT,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada Mohd Ariff menerusi hantaran terdahulu turut berkongsi kunjungannya ke Bazar Ramadan Pekan Sauk bagi menyantuni para peniaga dan orang ramai yang ingin membeli juadah berbuka puasa.
Kesempatan itu dimanfaatkan beliau untuk menyokong peniaga tempatan melalui pembelian makanan sebelum diagihkan kepada pengunjung.
“Alhamdulillah, saya turun ke Bazar Ramadan di Pekan Sauk untuk bertemu dengan para peniaga. Saya juga sempat membeli dan mengagihkan juadah makanan kepada pembeli.
“Pengunjung pun ramai dan peniaga nampak ceria melayan pelanggan. Saya sentiasa mendoakan semoga semua peniaga dimurahkan rezeki dan terus sukses!” ujar beliau. – UMNO Online