Malaysia Perkukuh Peranan ASEAN, Pacu Ekonomi Setempat – Muhamad Alamin

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Muhamad Alamin menjelaskan penganjuran mesyuarat ASEAN dijangka dapat memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat terutama sektor pelancongan, pembangunan, dan pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurut beliau, Malaysia memainkan peranan utama dalam menyelaraskan agenda pembangunan Komuniti ASEAN, memperkukuh kerjasama serantau, serta merangsang perdagangan dan pelaburan.

Katanya, Malaysia berpeluang untuk memimpin rundingan dan membina konsensus dalam kalangan negara anggota ASEAN sekaligus memperkukuh profil dan pengaruh ASEAN di peringkat antarabangsa.

“Malaysia juga akan memberi tumpuan terhadap kerjasama dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan awam, dan kesejahteraan sosial yang secara langsung memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat di bandar secara amnya.

“Peluang ini membolehkan Malaysia menangani isu-isu tertentu berkepentingan, termasuk menerokai peluang kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan, peralihan tenaga dan ekonomi hijau, kesalinghubungan, sains dan inovasi serta transformasi dan ekonomi digital di samping memperkukuh hubungan diplomatik dua hala yang sedia ada.

“Perbincangan dua hala yang strategik turut ditawarkan di sela-sela sidang kemuncak ASEAN bersama rakan dialog dan rakan luar ASEAN. Penganjuran program-program ini bukan sahaja menggalakkan kerjasama serantau, malah membuka peluang ekonomi dan pelaburan bagi Malaysia,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Senator Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah status Kepengerusian ASEAN pada tahun ini dan apakah program-program ASEAN yang akan diadakan di Malaysia serta impaknya kepada Malaysia.

Muhamad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata selain daripada mesyuarat-mesyuarat berjadual, Malaysia turut menganjurkan lapan belas (18) acara sampingan berprestij.

“Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN, ASEAN Foreign Ministers’ Retreat, yang telah diadakan pada 18 – 19 Januari 2025 di Langkawi, Kedah merupakan pembuka tirai kalendar kerja ASEAN bagi peringkat Menteri tahun ini.

“Penganjuran berkaitan ASEAN seperti, ASEAN AI Summit yang akan diadakan pada 25 – 26 Jun di MITEC Kuala Lumpur; ASEAN Women Economic Summit, 24 – 25 Mei 2025 di Kuala Lumpur; Fortune’s ASEAN-GCC-China Economic Forum, 25 Mei 2025 di Kuala Lumpur dan Bloomberg Business Summit, November 2025 di Kuala Lumpur.

“Malaysia telah berkongsi keutamaan dan keberhasilan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan semua Negara Anggota ASEAN dan mereka telah menzahirkan sokongan bagi menjayakan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” katanya lagi.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Kimanis lagi, sejak Januari, secara tuntasnya kesemua mesyuarat yang telah dihoskan oleh Malaysia setakat ini berjalan dengan lancar, hasil kerjasama erat semua Kementerian dan Agensi.

“Pihak berkuasa tempatan serta entiti-entiti berkaitan Kerajaan (GLCs) menerusi pendekatan, dengan izin, Whole-of Government dan Whole-of-Nation.

“Rata-rata delegasi ASEAN yang hadir ke mesyuarat-mesyuarat ini turut memberi maklum balas positif mengenai penganjuran mesyuarat yang teratur dan lancar serta layanan baik Malaysia sebagai negara tuan rumah,” ujarnya – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit