Madani Bekerja… Tatakelola Negara Ke Arah Lebih Cemerlang Demi Rakyat – Azalina
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada ketika ini berada di London, United Kingdom dalam siri akhir lawatan kajian empirikal pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata lawatan kajian empirikal ini dimulakan dengan sesi perbincangan meja bulat bersama pakar perundangan.
Ia dihoskan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Fakulti Undang-Undang University College London dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang bertujuan untuk memudahcara dialog berkaitan pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Malaysia.
“Fokus utama sesi ini antara lain ialah memahami struktur organisasi dan pentadbiran Peguam Negara dan Pendakwa Raya di UK susulan kajian terdahulu di Australia dan Kanada tahun lalu.
“Hasil perbincangan tersebut akan menjadi asas kepada cadangan model optimum yang akan diadaptasi dalam rangka kerja perundangan Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Professor Undang-Undang, University College London Professor Jeff King melibatkan lebih daripada tiga puluh ahli panel dan penceramah yang terdiri daripada pakar perundangan dan ahli-ahli akademik dari Malaysia dan UK.
Antaranya mantan Peguam Negara UK, The Rt. Hon. Victoria Prentis KC; mantan Pendakwa Raya England dan Wales, Sir Max Hill KCB KC; Ahli Parlimen Ledang merangkap Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Dekan, Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Nurhafilah Musa.
Turut serta wakil-wakil daripada pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkepentingan seperti Surhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) dan banyak lagi.
“Siri kajian empirikal ini membuktikan komitmen jelas Kerajaan MADANI dalam merealisasikan agenda reformasi institusi bagi meningkatkan tadbir urus dan tatakelola negara ke arah yang lebih cemerlang untuk kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.
Delegasi ini terdiri daripada Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh; Ahli Parlimen Kota Melaka; Khoo Poay Tiong dan Ahli Dewan Negara, Rita Sarimah anak Patrick Sinol. – UMNO Online